mikraj

Peristiwa Israk dan Mikraj. Perjalanan Rasulullah Yang Luar Biasa.

2024-11-07

Peristiwa Israk dan Mikraj. Perjalanan Rasulullah Yang Luar Biasa. | SAYA LUV ISLAM : Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada tahun kesepuluh kenabian Rasulullah.
mikraj
Peristiwa ini terjadi di saat Rasulullah SAW menghadapi kesedihan yang mendalam akibat kematian dua insan terdekat iaitu Saidatina Khadijah, isteri baginda dan Abu Talib, bapa saudaranya. Kehilangan ini sangat berat bagi Rasulullah kerana keduanya merupakan penyokong kuat dalam dakwah Islam. Dalam suasana yang penuh tekanan dan kesedihan ini, Allah SWT mengizinkan satu perjalanan agung kepada Rasulullah SAW. Perjalanan tersebut ialah Israk dan Mikraj.

ISRAK: PERJALANAN DARI MASJIDIL HARAM KE MASJIDIL AQSA

Israk merupakan perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram dari Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis(Jerusalem). Dengan menunggang seekor haiwan iaitu Buraq, sejenis haiwan luar biasa yang lebih pantas dari cahaya. Hebatnya haiwan itu sehingga Rasulullah dapat melakukan perjalan tersebut dalam sekelip mata. Setibanya di Masjidil Aqsa, Rasulullah bertemu dengan para nabi sebelumnya dan baginda diminta mengimami mereka dalam solat. Peristiwa ini menunjukkan kedudukan Rasulullah sebagai pemimpin seluruh nabi dan pengakhir perjuangan para nabi.
aqsa

MIKRAJ PERJALANAN KE LANGIT

Selepas Israk, Rasulullah SAW dibawa oleh Malaikat Jibril untuk perjalanan Mikraj. Iaitu perjalanan menaiki langit ke sidratul muntaha, tempat tertinggi yang boleh dicapai makhluk ciptaan Allah. Di setiap lapisan langit, Rasulullah bertemu dengan para nabi seperti Nabi Adam, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan lain-lain yang menyambutnya dengan salam. Perjalanan ini penuh dengan peristiwa-peristiwa ajaib termasuklah pemandangan syurga dan neraka sebagai pelajaran untuk umat manusia.

Di sidratul muntaha, Rasulullah SAW berada sangat dekat dengan Allah SWT dan menerima wahyu untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Pada awalnya, solat difardhukan sebanyak lima puluh waktu sehari. Namun atas saranan Nabi Musa AS, Rasululullah meminta keringanan hingga solat dikurangkan menjadi lima waktu. Solat lima waktu ini menjadi ibadah utama dan tiang agama yang membezakan umat Islam dengan umat lain.

IKTIBAR DAN PENGAJARAN DARI ISRAK DAN MIKRAJ

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan sekadar perjalanan luar biasa, tetapi penuh dengan pengajaran yang mendalam. Ia mengajarkan kepada umat Islam bahawa dalam keadaan tertekan atau diuji, Allah sentiasa memberikan jalan keluar dan ketenangan. Selain itu, solat diwajibkan dalam peristiwa ini menjadi penghubung antara hamba dengan Tuhannya, memberi kedamaian dan ketenangan jiwa.
mikraj

KESIMPULAN

Peristiwa Israk dan Mikraj mengajarkan umat Islam tentang kekuasaan Allah yang tidak terbatas dan peranan penting Rasulullah SAW sebagai pemimpin umat. Melalui perjalanan ini, Allah SWT memperlihatkan keagungan dan keajaiban-Nya. Allah memberi sokongan dan kekuatan kepada Rasulullah di saat baginda memerlukannya. Israk dan Mikraj menjadi bukti kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dan kepentingan solat sebagai ibadah utama.

Artikel Lain