Setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajal. Tak kira muda atau tua, sihat atau sakit semua akan kembali kepada Allah satu hari nanti. Dan apabila roh berpisah dari jasad, bermulalah perjalanan baru. Satu alam yang kita semua pasti akan singgah iaitu Alam Barzakh.
Tapi pernah tak kita terfikir apa sebenarnya yang berlaku pada malam pertama kita di alam kubur? Saat semua orang sudah pulang, tinggal tanah, gelap, dan sunyi. Apa yang akan kita hadapi?
Permulaan Sebuah Alam Baru
Kubur yang nampak tenang dari luar, sebenarnya menyimpan rahsia besar. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
“Kubur itu sama ada taman dari taman-taman syurga, atau lubang dari lubang-lubang neraka.”
(Hadis Riwayat Tirmidzi)
Maksudnya, di bawah tanah itu ada dua kemungkinan nikmat atau azab. Dan yang menentukan bukan siapa kita di dunia, tapi bagaimana kita hidup.
Soalan Pertama Dari Dua Malaikat
Sebaik saja jenazah ditimbus dan langkah terakhir orang hidup meninggalkan kita, Allah kembalikan roh ke jasad. Kita akan mendengar bunyi tapak kaki yang semakin jauh dan saat itulah datangnya dua malaikat, Munkar dan Nakir.
Mereka bukan datang untuk berbual mesra. Mereka datang untuk bertanya:
- Siapa Tuhan kamu?
- Apa agama kamu?
- Siapa lelaki ini (Nabi Muhammad SAW)?
Bagi orang beriman, jawapan itu keluar dengan mudah dan tenang. Tapi bagi yang hidup leka, tak peduli agama lidahnya kelu, fikiran buntu, tak tahu nak jawab.
Lalu, bagi orang beriman, dikatakan padanya:
“Lihatlah tempatmu di syurga.”
Namun bagi yang kufur dan munafik…
“Engkau tidak mengenali Nabi itu, dan engkau tidak bertanya kepada orang yang mengenalinya.”
Lalu dia dipukul dengan palu besi — hingga jeritannya didengar semua makhluk kecuali jin dan manusia.
Himpitan Kubur
Tak ada sesiapa yang terlepas dari himpitan kubur. Nabi SAW bersabda:
“Jika ada sesiapa yang akan selamat daripada himpitan kubur, nescaya Sa’ad bin Mu’az lah orangnya.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Bayangkan Sa’ad bin Mu’az, sahabat Nabi yang disambut 70,000 malaikat pun masih merasainya.
Cuma bezanya, bagi orang beriman, himpitan itu lembut… seperti pelukan seorang ibu. Tapi bagi mereka yang berdosa, himpitan itu cukup dahsyat hingga tulang-tulang remuk.
Teman Dalam Kubur
Kita takkan benar-benar keseorangan. Akan datang satu “teman” menemani dan rupa dia bergantung pada amalan kita semasa hidup. Kalau kita banyak amal soleh, teman itu akan datang dengan wajah yang berseri, bau yang wangi, menenangkan hati. Tapi kalau hidup penuh maksiat… datanglah rupa yang hodoh, busuk, menakutkan. Itulah hakikatnya amalan kita sendiri akan menjadi teman di alam kubur.
Rumah Akhirat Dipertontonkan
Di dunia, kita sibuk cari rumah cantik. Tapi di kubur, kita akan “ditunjukkan” rumah sebenar sama ada di syurga atau di neraka.Setiap pagi dan petang, tempat kita di akhirat akan diperlihatkan. Kalau dari golongan beriman, pandangan itu menenangkan. Kalau sebalikny hanya rasa takut dan sesal yang berbaki.
Nabi SAW bersabda:
“Apabila seseorang mati, diperlihatkan tempatnya di syurga atau neraka setiap pagi dan petang.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Masa Untuk Kita Fikir
Alam Barzakh bukan dongeng. Ia pintu pertama ke akhirat. Di situ, harta tak berguna. Sahabat tak mampu menolong. Yang tinggal cuma amalan. Kalau Nabi SAW sendiri berdoa minta perlindungan dari azab kubur, kalau Saidina Uthman RA menangis setiap kali nampak kubur. Kita bagaimana?
Masih Ada Peluang Untuk Bersedia
Kita masih hidup masih ada peluang.
Mulakan dengan yang asas:
- Jaga solat.
- Tunaikan kewajipan.
- Jaga lidah dari menyakiti.
- Jauhkan diri dari yang haram dan syubhah.
- Banyakkan istighfar dan taubat.
- Baca doa perlindungan dari azab kubur setiap hari:
“اللهم إني أعوذ بك من عذاب القبر”
Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur.
Malam pertama di alam barzakh bukan malam yang kita sambut dengan senyuman, tapi malam yang menentukan permulaan perjalanan abadi kita.
Moga Allah jadikan malam pertama kita nanti bukan malam penuh ketakutan. Tapi malam yang tenang disambut malaikat dengan ucapan:
“Salam sejahtera ke atasmu kerana kesabaranmu. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.”
(Surah Ar-Ra’d: 24)
Ameen Ya Rabbal ‘Alamin.